Saturday, November 15, 2008

UMNO perlu buat anjakan

BAGI bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Jamaludin Jarjis, pengguguran dari Kabinet memberikannya banyak hikmah dan pengajaran, oleh itu beliau lebih banyak mengamalkan sikap low profile.

Namun ahli UMNO tetap mengingati beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak harus diketepikan begitu sahaja, justeru ketika mesyuarat-mesyuarat bahagian, mereka memilih beliau sebagai salah seorang calon yang akan merebut kerusi Naib Presiden pada pemilihan Mac nanti.

Bagi Dr. Jamaludin, beliau tidaklah begitu ghairah untuk merebut jawatan, apa yang lebih penting ialah memperkukuhkan kembali UMNO untuk memastikan parti itu mendapat semula sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, beliau yang juga Ahli Parlimen Rompin lebih banyak mengetengahkan pandangan bagaimana UMNO harus mengatur strategi bagi memberi penjelasan kepada rakyat berhubung sesuatu isu yang ditimbulkan oleh pembangkang. Malah beliau juga berpendapat, kaedah memberi penerangan yang dilakukan oleh UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan sekarang harus diubah selari dengan perkembangan teknologi maklumat. Apa tah lagi kata beliau, dengan kewujudan hampir 2 juta pengundi baru yang terdiri daripada generasi muda pada pilihan raya umum akan datang, penjelasan yang tepat perlu dilaksanakan supaya usaha ‘menghitamkan’ track record UMNO dalam membela kaum di negara ini yang sedang dilakukan oleh pembangkang mampu digagalkan.

Dalam pertemuan itu juga, Dr. Jamaludin turut mengulas mengenai maksud hak keistimewaan dan ketuanan Melayu. Bagi beliau, kedua-dua istilah itu telah disalahtafsirkan sehingga memungkinkan wujud perasaan tidak puas hati di kalangan bukan Melayu.

Mingguan: Sebagai calon Naib Presiden, bagaimanakah Datuk Seri melihat pemilihan UMNO kali ini?

DR. JAMALUDDIN: Bagi saya pemilihan kali ini amat bersejarah kepada UMNO. Ini kerana parti itu akan menentukan barisan kepimpinannya selepas UMNO dan BN dikatakan menerima 'isyarat lampu kuning' atau wake up call daripada rakyat dalam pilihan raya umum lalu. Isyarat ini tidak harus dipinggirkan oleh UMNO kerana rakyat sudah memberikan mesej yang jelas sehingga BN tewas di lima negeri. Justeru apabila UMNO mengadakan perhimpunan agungnya kali ini mereka tidak harus lupa kepada isyarat berkenaan dan memilih satu pasukan bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada UMNO. Saya yakin jika mesej rakyat itu difahami, UMNO yang akan berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak nanti akan dapat meraih sokongan rakyat dan menguasai semula majoriti dua pertiga di Parlimen.

Selain itu, saya juga melihat pemilihan kali ini sebagai satu anjakan sejarah selepas kita menempuh kemerdekaan. Ini kerana UMNO dan negara akan dipimpin oleh seorang anak kepada salah seorang tokoh yang telah memerdekakan negara kita.

Apakah dalam pemilihan nanti UMNO akan mampu mewujudkan satu barisan kepimpinan yang diharapkan?

DR. JAMALUDIN: Saya percaya ahli-ahli UMNO menyedari perkara ini terutamanya mengenai transisi teraju kepimpinan negara. Sebab itulah di peringkat bahagian-bahagian berlaku transformasi di mana banyak pemimpin-pemimpin bahagian terdiri daripada generasi muda. Ini bererti UMNO sudah membuat pembetulan di peringkat bawah dan kebanyakan ketua-ketua bahagian kini terdiri daripada mereka yang berada dalam satu generasi bersama Najib. Ini adalah petanda yang baik kerana apabila sudah terbentuk pemimpin baru maka mereka juga perlu melakukan perubahan dari segi pendekatan dan anjakan. Langkah ini penting untuk memastikan UMNO bersama-sama dengan rakan dalam BN terus berkuasa.
Apakah perubahan yang dilakukan itu akan mengambil kira kewujudan 2 juta pengundi baru yang terdiri daripada generasi muda?
DR. JAMALUDIN: Fakta inilah yang harus menjadi perkiraan kerana semakin banyak pengundi baru, maka sudah semestinya kita perlu membuat perubahan. Kita berterima kasih kepada pimpinan yang terdahulu bermula daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr.Mahathir Mohamad hinggalah kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ini kerana mereka sudah banyak melakukan jasa sehingga berjaya membawa Malaysia keluar daripada kelompok negara-negara miskin seperti mana kita lihat berlaku di benua Afrika.

Namun demikian walaupun kita berjaya tetapi anak muda mahu bukan sahaja kita lebih baik dari negara di benua berkenaan tetapi Malaysia berada sama taraf dengan negara lain yang cemerlang dan gemilang. Untuk itu mereka akan berkata kenapa tidak kita menjadi sebuah negara maju seperti Korea, China dan Amerika Syarikat (AS). Dalam soal ini, UMNO sebagai tulang belakang BN harus membuat anjakan dan perubahan bagi memperjuangkan bukan sahaja nasib orang Melayu tetapi juga semua kaum di negara ini.

Tetapi masalahnya sudah ada dakwaan bahawa UMNO hanya membela Melayu sehingga ia turut mempengaruhi keputusan pilihan raya lalu?

DR.JAMALUDIN: Saya tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian. UMNO mempunyai track record yang menunjukkan ia adalah sebuah parti yang membela semua kaum. Kalau kita kaji, UMNO sebenarnya boleh menubuhkan kerajaan secara bersendirian tanpa bantuan mana-mana parti ketika pilihan raya pertama selepas merdeka. Tetapi UMNO memilih untuk menuntut kemerdekaan bersama-sama MCA yang mewakili kaum Cina dan MIC yang mewakili kaum India. Keadaan itu telah membolehkan UMNO dilihat oleh kaum lain turut membela nasib mereka.

Semua sejarah dan track record ini harus diperjelaskan kepada generasi muda bukan Melayu dengan lebih mendalam. Mereka mungkin tidak mengetahui perkara ini tetapi bapa-bapa mereka memahaminya kerana tanpa jasa UMNO mereka tidak akan menjadi rakyat Malaysia.Kalaulah kepada bapa mereka yang bukan warganegara UMNO boleh bertindak adil, apatah lagi kepada mereka yang sah-sah adalah warganegara Malaysia. Oleh itu tidak timbul soal UMNO tidak adil kepada mereka sebab kita sama-sama warganegara.

Saya berpendapat, adalah sesuatu yang merbahaya jika api perkauman terus ditiupkan melalui penyebaran dakyah kononnya UMNO tidak akan adil kepada bukan Melayu. Sepatutnya soal ini tidak ditimbulkan kerana hak bukan Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan seperti bahasa, agama dan budaya mereka. Oleh itu UMNO perlu mengambil satu strategi komunikasi termasuk menggunakan teknologi terkini untuk memperjelaskan kepada golongan berkenaan agar tidak termakan dengan hasutan dan racun-racun yang dibawa oleh pembangkang seperti mana kita lihat dalam pilihan raya lalu.

Bagaimanakah UMNO hendak menangkis serangan pembangkang tersebut kerana isu perkauman acap kali menjadi modal politik?

DR. JAMALUDIN: UMNO harus tegas dalam menyatakan pendirian bahawa parti itu membela semua kaum. Sebagai warganegara Malaysia kita ibarat 'cubit paha kanan paha kiri terasa juga', bermakna kalaulah orang Melayu susah, sewajarnya UMNO bela dan apabila orang bukan Melayu susah sudah menjadi kewajipan UMNO membela mereka. Saya yakin di bawah kepimpinan baru nanti, Najib akan melihat kesusahan semua kaum di negara ini harus dibela.Kita perlu memahami bahawa formula memberikan kewarganegaraan kepada bukan Melayu sudah berjaya meletakkan Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, oleh itu formula berkenaan perlu diteruskan. Ia adalah satu formula yang boleh menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara dengan memastikan keadilan kepada semua kaum.

Oleh itu berdasarkan formula berkenaan dakwaan pembangkang bahawa UMNO hanya dilihat membela Melayu atau orang UMNO sahaja adalah tidak benar. Bagi membolehkan kita terus maju bagi tempoh 50 tahun akan datang, kepimpinan negara yang baru sudah pasti akan meneruskan dan memperkukuhkan formula tersebut.

Adakah ini bermaksud bahawa UMNO perlu meneruskan usaha membela kaum lain tanpa meminggirkan hak keistimewaan orang Melayu?
DR. JAMALUDIN: Dalam soal mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu ini, saya percaya jika kita berjaya memberi jaminan kepada kaum lain bahawa UMNO tetap membela nasib mereka, saya yakin rakyat tidak akan termakan dengan hasutan pembangkang. Ini kerana UMNO ada track record membela semua kaum.

Atas sebab itulah saya mengajak semua bahagian-bahagian UMNO melakukan anjakan dalam soal menjalin hubungan dengan kaum-kaum lain. Sebagai contoh, selain mengadakan majlis sumbangan pada hari raya kepada anak-anak yatim Melayu, apa salahnya jika ketika sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali atau perayaan kaum lain kita juga turut mengadakan majlis memberi sumbangan kepada anak-anak yatim kaum berkenaan.

Semua ini saya lakukan di bahagian Rompin yang saya menjadi ketuanya. Kita berbuat demikian untuk menunjukkan keprihatinan dan membuktikan bahawa UMNO bukan sekadar membela orang Melayu. Malah kalau kita kaji dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB), istilah membasmi kemiskinan bukannya eksklusif kepada orang Melayu sahaja malah ia kepada semua kaum.Justeru kaum bukan Melayu harus diberi pemahaman dengan sejelas-jelasnya bahawa UMNO tidak hanya membela orang Melayu, kalau mereka hendak berbuat demikian buat apa kita hendak bagi kerakyatan kepada kaum lain ketika awal-awal kemerdekaan dahulu?

Kenapa isu perkauman terus dimainkan biarpun orang tahu ia sesuatu yang berbahaya kepada negara?

DR. JAMALUDIN: Ini mungkin kerana mereka memahami bahawa pengundi baru terdiri daripada generasi muda yang tidak tahu sejarah negara. Oleh itu mereka cuba menghitamkan jasa-jasa UMNO dalam sejarah yang menunjukkan kita membela semua kaum. Ini adalah strategi pembangkang dalam usaha mereka meraih sokongan bagi berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang.Untuk itu kita harus mengambil langkah menerangkan kedudukan sebenar kepada generasi muda. Bagaimanapun pendekatan yang digunakan bagi mendekati golongan berkenaan harus berbeza. Kita tidak boleh lagi menggunakan kaedah seperti berceramah di balai raya kampung-kampung.

Sebaliknya, perkembangan teknologi maklumat sekarang harus digunakan semaksimum mungkin dalam kita menyampaikan maklumat kepada generasi tersebut terutama melalui internet. Kita tidak boleh lagi berharap penjelasan kerajaan hanya akan disiarkan pada pukul 8 malam melalui berita perdana sama ada oleh RTM mahupun TV3.

Apa yang harus diingat kita berhadapan dengan golongan muda yang tidak mahu menunggu lama bagi mengetahui perkembangan terkini yang berlaku dalam negara. Justeru penggunaan internet dengan menyebarkan berita terkini melalui laman-laman web amat penting. Ini kerana generasi muda mahu mengetahui berita semasa sepanjang 24 jam, oleh itu kalau UMNO tidak menggunakan kaedah baru ini, ia akan diambil kesempatan oleh pembangkang yang sudah pasti akan menggunakannya seperti yang berlaku dalam pilihan raya umum lepas.

Dalam soal penyebaran maklumat ini, perubahan pendekatan bukan sahaja harus dilakukan di peringkat parti, malah agensi-agensi kerajaan juga perlu melakukan perubahan. Ertinya, mereka tidak boleh hanya bergantung kepada siaran berita di televisyen sahaja, sebaliknya perlu mempunyai laman web sendiri, maknanya infrastruktur dalam kerajaan dan prasarana dalam parti harus berubah berikutan cabaran-cabaran baru ini. Saya yakin jika perubahan ini dilaksanakan dan berdasarkan kepada kepimpinan baru yang bakal kita miliki, insya-Allah kita bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.

Dalam isu kaum juga, soal hak keistimewaan orang Melayu turut dipertikaikan, apa pandangan Datuk Seri?

DR. JAMALUDIN: Saya melihat dalam Perlembagaan, kadang-kadang konsep keistimewaan Melayu disalahtafsir. Ia bermaksud kononnya Melayu diberi keistimewaan kerana warnanya. Ini adalah satu tafsiran yang salah. Hakikatnya semasa kita menggubal Perlembagaan dahulu, Melayu pada masa itu amat terbelakang dalam bidang ekonomi, golongan yang maju ketika itu ialah kaum lain, untuk itu satu persefahaman dicapai bahawa orang Melayu diberikan bantuan, ertinya mereka dibantu kerana mereka ketinggalan dalam ekonomi. Saya nampak perkara ini sudah diputuskan tetapi jangan lupa bahawa kalau yang susah itu juga adalah kaum bukan Melayu, sudah pasti kerajaan akan turut membela mereka. Contohnya membasmi kemiskinan, ia dilakukan tanpa mengira kaum, begitu juga pinjaman oleh bank industri kecil dan sederhana, ia bukan sahaja menolong usahawan Melayu malah usahawan kaum lain juga dibantu.

Kita perlu menjelaskan kepada orang ramai bahawa hak masing-masing terpelihara dan tidak wajar jika kaum-kaum lain membangkitkan isu hak keistimewaan Melayu kerana politik. Orang Melayu juga perlu memaklumkan kepada bukan Melayu bahawa Melayu dibela kerana mereka ketinggalan. Contohnya, ukur rata pendapatan kaum Cina ialah lebih RM4,000 sebulan sedangkan orang Melayu hanya RM2,000 sebulan, ini bermakna orang Melayu perlu dibela, itulah yang dimaksudkan keistimewaan dalam Perlembagaan.

Begitu juga dalam isu ketuanan Melayu, ia bukan bermaksud kita mahu kaum lain memanggil kita 'tuan' seperti mana orang Inggeris lakukan kepada orang Melayu dahulu. Istilah ketuanan Melayu tidak boleh dilihat dalam konteks tersebut. Apa yang kita maksudkan ialah di Malaysia ini, induknya orang Melayu dan ia negara orang Melayu yang sudah merdeka tetapi kita menghargai sumbangan kaum- kaum lain yang datang ke Malaysia dan membangunkan negara ini. Berdasarkan kepada faktor itulah kita berikan kewarganegaraan kepada mereka tetapi oleh kerana orang Melayu masih lagi ketinggalan dalam negaranya sendiri maka mereka harus dibela.
Tidakkah masalah generasi muda tidak tahu sejarah ini boleh memberi ancaman kepada UMNO?
DR. JAMALUDIN: Dalam menghadapi keadaan ini UMNO harus bijak menjelaskan isu kepada anak muda bahawa apa juga yang dihujahkan oleh pembangkang mengenai kerajaan dan BN, semua itu hanya bermotifkan politik. Bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan generasi muda ini, saya yakin dalam hati, mereka sayangkan negara. Jangan sesekali apabila mereka mempersoalkan t sesuatu perkara kita mempertikaikan pula kesetiaan mereka, tidak wajar untuk kita berbuat demikian.

Sebaliknya kita harus mengambil perhatian dan berusaha menangkis serangan pembangkang yang memainkan kad perkauman itu bagi menghakis sokongan kepada BN dan UMNO. Kita perlu berhati-hati dan menjelaskan kepada mereka. Apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu harus dijadikan pengajaran apabila kita tidak berhati-hati dalam berhadapan dengan dakwaan pembangkang bahawa UMNO hanya membela orang Melayu. Ketika itu kita menganggap bahawa orang tidak akan percaya kepada dakwaan pembangkang tetapi hakikatnya dakyah mereka berjaya mempengaruhi golongan muda. Saya berpendapat apa yang akan kita hadapi selepas ini ialah peperangan minda dan terserah kepada UMNO sebagai ahli yang mempunyai ramai ahli dan track record mengendalikan keadaan.

Dalam usaha memberi penjelasan mengenai hak orang Melayu, UMNO juga berhadapan dengan pemimpin Melayu yang bersekutu dengan pembangkang?

DR. JAMALUDIN: Saya lihat pembangkang hanya mahu berkuasa, oleh itu mereka sanggup melakukan apa sahaja. Ini jelas apabila berjumpa dengan masyarakat Cina mereka dakwa DEB tidak perlu dan bila berjumpa orang Melayu pula mereka kata tetap akan mempertahankan hak Melayu di bawah Perlembagaan. Sebagai pembangkang, mereka boleh kata apa pun tetapi sebagai kerajaan, kita tidak boleh berbuat demikian. Kerajaan tidak boleh mengamalkan sikap berkata sesuatu yang berlainan apabila berjumpa dengan mana-mana kaum.

Sebenarnya inilah strategi pembangkang kerana mereka tahu sebagai pembangkang mereka boleh berkata apa sahaja. Justeru dalam menghadapi masalah ini, UMNO dan BN perlu mempunyai strategi yang bijak. Ia termasuklah membuktikan kepada rakyat bahawa setiap langkah yang dilakukan oleh kerajaan pasti akan mendatangkan kebaikan kepada rakyat. Sebagai contoh, baru-baru ini kita menambah peruntukan sebanyak RM7 bilion untuk merangsangkan ekonomi, pembangkang kata sepatutnya itu tidak perlu dilakukan, tetapi dunia mengiktiraf formula itu. Tetapi apa yang anehnya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyokong langkah rangsangan berkenaan dan mahu ia ditambah kepada RM40 bilion. Maknanya kita kena beritahu orang ramai bahawa jangan terpengaruh dengan pembangkang yang berdolak-dalih demi politik mereka.

Selain itu, UMNO juga sudah ada track record dan dengan kepimpinan yang baru nanti ia boleh melakukan anjakan untuk memastikan impian melihat Malaysia maju pada tahun 2020 menjadi kenyataan. Apa yang perlu diingat latar belakang ekonomi orang Melayu masih lemah dan rapuh, ia berbeza dengan kaum Cina yang sememangnya berasal daripada golongan perniagaan, sebab itu saya tidak suka kepada istilah 'ketuanan' ini kerana kita tolong Melayu bukan kerana dia Melayu tetapi kerana mereka harus dibela.Tetapi sama ada orang Melayu itu akan berjaya atau tidak, ia bergantung kepada kegigihan mereka untuk berusaha.

Dan semestinya UMNO akan turut membela kaum lain yang memerlukan pembelaan kerana sejarah menunjukkan ia adalah parti yang adil kepada semua kaum.

13 comments:

mohd said...

bagi makan byk2 kat ketua cawangan, bawk gi lkawi.....tipu semua org keratong...itulah jj..jgn lupa tipon saad baloh....(syyyy..bila nak ra*a lagi..? ajak aku skali....)

Anonymous said...

Hi JJ,
Anak dara mane yg follow blog u ni...noor azlina mane satu? boleh share tak?

marija mirsad said...

hi jj,

apa pandangan jj tentang kosakata baru melayu: jarjis/meraba-raba.

¨kerana terputus bekalan elektrik, si najib terpaksa menjarjis untuk mencari lilin.¨

betul tak ayat kat atas tuh?

Life2110 said...

kah kah kah..joke la blog ni..
JJ, how much u paid to that pelayan wanita...? your regular place for cigar, kat mana? boleh i upah awek jadi pelayan... mana tau dapat duit terpijak ..kah kah kah

Anonymous said...

persoalan:

1. betul ke blog ini di buat dan di selia oleh Dato JJ mahupun pembantu-pembantunya? ataupun blog ini diwujudkan oleh seseorang...sebab komen2 kebanyakannya tidak ditapis (mungkin) ataupun memang Dato JJ mengamalkan keterbukaan yang sangat tinggi..

2. Untuk dato JJ, apa wawasan anda dalam UMNO? Sila huraikan...

Anonymous said...

memang tidak di tapis...apa2 pun selamat berjaya untuk Dato JJ..berjaya dalam erti kata memperbaiki dan hijrah diri ke arah yang lebih baik dan disegani masyarakat..

SaKa AdiWangsa said...

Wow Dato JJ pun dah ada blog...good luck and be responsive!

.@blogger.com said...

Dato' JJ,
1.Tahniah kerana sudah menyedari bahawa perlunya ada media penyampai bicara @ blog.
2.Jangan runsing tentang komen, memang begitulah raality kehidupan - ada pro ada kontra.
3.Bagi komen yang guna perkataa terlalu kotor dan tidak sesuai untuk masyarakat umum - DELETE saja. Bukan bermakna tidak demokrasi tetapi ada batasannya.
4.Saya bukan sangat peduli kepada karier politik Dato', tetapi apapun saya ucapkan selamat berjuang - dengan cara dan arah sendiri.
Salam dari saya, senang-senang jenguk juga blog saya - http://braveheart-blogger.blogspot.com

Anonymous said...

DATO JJ BINTANG YG BERSINAR! HANYA PEKAN DAN ROMPIN MAJORITI NYA NAIK!

TAPI TUDUHAN TU DAH DITARIK BALIK!

APA APA PUN JJ HARUS DIBERI PELUANG SEPERTI CHUA SOI LEK!

.@blogger.com said...

Sdr/i,

Blog sdr/i telah di-link-kan didalam blog hub GERBANG TEMU MAYA @ GABUNGAN SUARA ANAK PAHANG - tanpa prejudis. Blog GERBANG TEMU MAYA ini telahpun di-link-kan didalam blog bug ternama PENGABUNG SUARA ini akan memberikan blog-blog dalam GTM mendapat lebih pengunjung.

Sila maklumkan jika sdr/i tidak bersetuju blog sdr/i dimuatkan didalam GTM untuk kami keluarkannya. Harap maklum dan terima kasih.

http://gerbangtemumaya.blogspot.com

PKMPL said...

seorang mp dan x menteri yg paling bijak hujahnya dalam kerajaan...

teruskan dato seri

lompinlai said...

Cakap tak serupa bikin...

Macam mana rakyat nak jumpa ? MP mereka tinggal di USA..

Tolong tengok masalah rakyat..

MFN said...

UMNO lemah sbb ada pemimpin yg korupsi..
Dr JJ, sy harap Dr tak menipu. Dr dtg ke kwsn sy tak habis2 tabur janji yg tak pernh dtunaikan. Harap2 PRU13 ada muka baru utk parlimen rompin. Dh serik kena tipu.